Apabila melihatnya, siapa sangka beliau seorang pemilik kepada bisnes yang berkembang maju.

BACA: Tip ‘A to Z’ Kejayaan Bella Ammara Ditubuhkan Dan Beroperasi Tanpa Pinjaman Bank

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Muda dan kecil molek, ahli perniagaan ini, Nur Asyikin binti Rahmat yang berusia 33 tahun, memiliki rangkaian butik muslimah jenama Asyikin Exclusive yang mencecah jualan sehingga RM3 juta setahun.

Seorang yang mudah mesra, pertemuan 4 mata dengan beliau selama beberapa jam merupakan satu sesi perkenalan dan serap ilmu yang menyeronokkan.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Nur Asyikin dan suaminya Ishak Tang, kedua-duanya adalah merupakan ahli perniagaan.

Nur Asyikin mengusahakan Asyikin Exclusive, rangkaian butik dengan 3 cawangan di Melaka, iaitu di Mahkota Parade, Dataran Pahlawan dan Kota Fesyen, Ayer Keroh. Manakala di Kuala Lumpur, Asyikin Exclusive beroperasi di
butik vendor di Bangsar.

Nur Asyikin juga mengusahakan Baby Trading Point, kedai menjual kelengkapan harian bayi.

Suaminya pula mengusahakan Baba Nyonya Shop, iaitu syarikat pemborong tekstil, yang bertempat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Latar Belakang Keluarga

Nur Asyikin merupakan anak kepada Rahmat bin Jamal, seorang pengusaha kedai makan dan Salmah binti Abdullah, seorang surirumah. Bapanya, Rahmat, merupakan seorang pengusaha kedai mee kari kambing yang top di Melaka.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Dibesarkan di Melaka dalam suasana berpegang teguh kepada agama, tiga belas adik beradik Nur Asyikin ditemukan dengan pasangan masing-masing oleh ibu bapa. Bukan mengongkong, tetapi ayah Nur Asyikin tegas mahu anak-anak menjaga batas pergaulan.

Keluarga mereka dibesarkan dalam suasana sederhana. Walaupun tanpa menggunakan akaun bank, ayah Nur Asyikin mampu menyediakan rumah, tanah, pakaian dan makanan secukupnya buat keluarga.

Malah, 20 tahun dahulu, ayahnya sudah mampu melawat pelbagai negara di seluruh dunia.

Suamiku Warganegara China

Ishak Tang atau Guohua Tang merupakan warganegara China dari keluarga Muslim. Giat mendalami agama, Ishak merupakan 10 pelajar terbaik di masjid di daerahnya (pelajaran pondok).

Ketika orang beragama Islam lain di China susah mendapat pasport untuk ke luar negara, Ishak mendapat tawaran daripada kerajaan Malaysia untuk menyambung pelajaran di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) ketika berusia 17 tahun.

"Bila saya dengar cerita suami saya, kadang-kadang saya fikir betul-betul Allah kata orang yang berhijrah ini memang lain daripada yang lain. Allah kata kalau nak maju, kau kena berhijrah," Nur Asyikin berkongsi rasa hatinya.

Berasal dari keluarga miskin, ayah Ishak melepaskan anak remajanya ke bumi asing.

Ishak melangkah ke Malaysia tanpa memahami sepatah pun perkataan Bahasa Melayu mahu pun Inggeris. Setelah 3 tahun berada di Malaysia, Ishak sekali lagi mendapat anugerah pelajar terbaik.

Pada kali ini, beliau ditawarkan menyambung pelajaran ke Ummul Qura', Mekah oleh kerajaan Arab Saudi selama 4 tahun.

Berkahwin

Rahmat, ayah Nur Asyikin bertemu Ishak di Mekah. Berkenan dengan ketinggian budi pekerti pemuda budiman ini, Rahmat segera mencadangkan beliau berkahwin dengan anak perempuannya.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Nur Asyikin yang ketika itu berusia 18 tahun, ditemukan kepada bakal suaminya oleh keluarga. Dua minggu selepas itu, Ishak Tang dan Nur Asyikin berkahwin.

Pernah Hidup Susah

Berkahwin pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah. Nur Asyikin membuka cerita.

"Selepas berkahwin, suami tiada kerja saya tiada kerja, pening kepala. Takkanlah nak minta duit pada ibu bapa, walaupun keluarga saya bukan orang susah.

Malu, mesti malu. Kenapa malu?

Sebenarnya lebih kepada nak jaga aib muka suami sebab kita tak naklah orang pandang rendah suami saya. Macam mana pun saya mahu jaga (aib suami saya).

Bila orang hormat suami saya, orang hormat saya juga. Bila orang hina suami saya, sama juga seperti menghina saya.

Sayang suami, kan," kata Nur Asyikin sambil tertawa.

Demi tidak meminta-minta, pasangan suami isteri ini mula berniaga di bawah pokok. Mereka berdua bertungkus lumus mencari rezeki menjual roti canai, nasi campur dan lauk pauk di sebuah warung bawah pokok. Bangun seawal 4 pagi dan pulang ke rumah pada pukul 10 malam.

"Masa itu juga, saya mengandung anak sulung. Usah kata hendak pergi ke hospital swasta, sepanjang mengandung anak sulung tak pernah pergi check up sebab meniaga dan tak cukup duit. Semasa hendak melahirkan, ketika sedang duduk di bilik bersalin Hospital Melaka, saya terfikir, 'betul ke saya dalam bilik tu, umur baru 19 tahun tetapi sudah bersalin.' Orang lain yang sebaya mesti tengah seronok nikmati kehidupan bujang."

asyikin-exclusive
Via IG Asyikin Exclusive

"Apabila dapat bil beranak RM36 terkedu, sebab tak berduit. Berurut nak bayar RM15 pun tak mampu. Bila mak tanya, saya cakap sihat padahal Allah je yg tahu susah pada masa tu," cerita Asyikin yang membuatkan mereka yang mendengar, terkedu.

Perniagaan Warung Diuji

Selepas setahun, warga asing yang menjadi pelanggan warung mereka dihantar pulang oleh kerajaan negeri Melaka secara besar-besaran. Ini menyebabkan warung pasangan muda ini tiada lagi pengunjung.

Natijahnya, Nur Asyikin dan Ishak terpaksa menutup warung mereka dan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Bekerja di Bukit Bintang

Seterusnya, Nur Asyikin dan suaminya bekerja sebagai pembantu kios menjual bingkai gambar di Plaza Bukit Bintang dengan gaji hanya RM450 seorang. Hanya Allah sahaja yang memahami cabaran pasangan ini ketika itu.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Semasa makan, pasangan ini tidak akan membeli makanan yang membungkus menggunakan polisterin disebabkan jumlah nasi sedikit. Mereka akan mencari kedai yang membungkus menggunakan kertas disebabkan boleh letak nasi dan kuah lebih banyak. Hanya satu lauk, mereka kongsi berdua.

"Orang lelakikan makan banyak, saya dapat 3 hingga 4 suap sahaja. Apabila suami tanya, 'Kenyangkah?', saya jawab sudah kenyang walaupun sebenarnya tidak.

Kalau saya jawab belum, nanti suami akan suruh beli nasi lagi. Tetapi saya kena berjimat kerana sudah ada baby, Abdul Rahman. Mahu jimat untuk belanja susu dan diapers," cerita wanita tabah ini.

Nur Asyikin juga bercerita, ketika beliau dikunjungi rakannya di kios, rakannnya itu menjunjung beg plastik berisi baki-baki kentang goreng McDonald's.

Beliau berfikir dalam hati, "Ya Allah, kau boleh makan McDonald's. Macam mana kau boleh makan McDonald's."

asyikin-exclusive
The Vocket

Walaupun McDonald's hanya di depan mata, Nur Asyikin menceritakan bagaimana beliau tidak mampu, dan hanya melihat dan menghidu bau kentang goreng setiap hari. Bagaimana dia melihat ada yang makan french fries tidak habis, terdetik di hatinya, "Tak nak ke bagi aku sikit? Tak pernah makan benda tu."

Ketika ini, jiwa saya terkedu.

Kerana bagi mereka yang mampu, apalah sangat makan di McDonald's.


Ikuti sambungan biografi bisnes ini di Wanita Ini Meluaskan Empayar Fesyen Muslimah Ke China.

Kami akan menceritakan bagaimana perancangan Asyikin Exclusive membawa industri fesyen muslimah ke China dan kuasa membeli warga China yang luar biasa.

BACA: Berbekalkan Duit US$300, Orang Kuala Krai Ini Berjaya Menjadi Pereka Fesyen Terkenal Dunia

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram