Baru-baru ini saya dan beberapa rakyat Malaysia yang sedang menetap di Jepun dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa seorang pelancong Malaysia yang tercedera kerana jatuh.

Kemalangan ini berpunca daripada jalan yang licin akibat salji. Namun yang menjadi kesukaran adalah hospital terdekat telah penuh sesak hingga terpaksa menolak permohonan pelancong ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikut saya kongsikan beberapa info yang mungkin berguna sebagai persediaan sebelum anda melancong ke Jepun.

Untuk pengetahuan semua warganegara tak kira bangsa dan rupa (dan dari negara mana) yang berumur 20 tahun ke atas, bermastautin di Jepun lebih daripada 3 bulan, wajib menyertai salah satu program insuran di bawah:

1. Shakai Hoken – Employees’ Health Insurance
2. Kokumin Hoken – National Health Insurance

Secara ringkas, definasi 2 jenis program insurans ini ialah:

(i) Shakai Hoken bagi mereka yang bekerja makan gaji.

(ii) Kokumin Hoken bagi mereka yang bekerja sendiri, tidak bekerja atau yang sudah bersara.

Secara amnya, dengan penyertaan insurans ini, anda akan dapat medical card yang melayakkan anda membayar hanya 30% dari kos rawatan di mana-mana hospital.

Ada banyak lagi terma dan syarat serta jenis perlindungan untuk 2  insuran ini, saya tak dapat terangkan di sini. Nanti panjang ceritanya.

Bagi mereka yang tidak memiliki insurans di atas, seperti pelancong asing, short term business trip, pertukaran pelajar atau lain-lain, anda tidak dapat kelayakkan seperti di atas. Anda perlu mengambil travel insurans di negara masing-masing.

Baca: Cara Beli Kad Pengangkutan Pasmo Dan Suica Di Jepun

Antara kerisauan atau persoalan yang mungkin akan melanda anda sebagai pelancong bila melancong ke Jepun:

Persoalan 1:
Kalau demam boleh ke pergi Hospital dan dapatkan rawatan?

Jawapan:
Boleh. Kalau setakat demam, selsema batuk-batuk yang dah “melarat” sangat dan anda risau, anda masih boleh pergi ke “Klinik klinik kecil” di Jepun, tak perlulah sampai pergi Hospital besar.

Jika doktor di klinik itu rasa yang demam awak benar-benar teruk dan perlukan rawatan lanjutan di hospital besar, doktor klinik akan tulis surat untuk terus rujuk ke hospital yang beliau cadangkan.

Persoalan 2:
Bagaimana dengan bayaran rawatan?

Jawapan:
Anda perlu membayar 100% kos rawatan. Sebagai pesakit luar, kalau setakat jumpa doktor, dapat preskripsi dan ambil ubat di farmasi tu, mengikut pengalaman saya dulu tak melebihi 10,000 Yen.

Persoalan 3 :
Bagaimana dengan kes kecemasan?

Jawapan :
Saya jawab contoh kes yang pernah saya sendiri alami. Tahun 2012 musim sejuk. Waktu tu saya pergi Jepun sebagai pelancong. Pada hari ke tujuh saya terkena serangan asma pada jam 11 malam. Isteri saya membawa saya walk in ke hospital bandar Ohda, hospital di kawasan pedalaman.

Pertama sekali kami ditegur sebab walk in begitu sahaja tanpa menelefon mereka. Kemudian saya istiharkan yang saya tidak mempunyai medical card Jepun, dan setuju untuk bayar penuh segala kos rawatan.

Saya diterima untuk dilihat oleh Doktor bertugas. Saya diberikan nebulizer dan masuk air. Sejam kemudian selepas keadaan saya bertambah baik, doktor benarkan saya pulang.

Saya diberi prekripsi ubat dan hanya boleh mengambilnya keesokan pagi sahaja. Malam itu kos rawatan yang dikenakan ialah sebanyak 16,860 yen.

Persoalan 4 :
Betul ke di Jepun, biasa berlaku hospital tidak mahu menerima pesakit kecemasan?

Jawapan :
Ya, benar. Antara faktor berlakunya fenomena ini yang saya tahu:
(i) Kerap berlaku di bandar-bandar besar.
(ii) Wad penuh, atau kekurangan katil dan peralatan.
(iii) Kes kecemasan yang melibatkan pembedahan rumit yang tidak dapat dilakukan oleh hospital berkenaan.
(iv) Kekurangan doktor atau doktor teramat sibuk membuat pembedahan atau konsultasi.
(v) Tiada pakar yang sedang bertugas untuk merawat kondisi tertentu (specific condition).

Persoalan 5:
Kalau dilihatkan faktor di atas, bukan lah bermakna oleh kerana kita ni warga asing sebab tu hospital menolak dan tak nak terima kita.

Jawapan:
Ya, benar. Walau rakyat Jepun sendiri yang ada pelbagai insurans tu pun masih ditolak untuk diterima oleh kerana faktor-faktor di atas. Saya rasa bukanlah atas faktor diskriminasi.

Menurut laporan, Fire and Disaster Management Agency Tokyo pada tahun 2010, seramai 16,000 pesakit kecemasan yang di bawa ke hospital telah di tolak untuk diterima masuk ke wad oleh sekurang-kurangnya 3 buah hospital. (Boleh rujuk www.japantoday.com berita pada Jul 23, 2011. )

Banyak juga kes pesakit kecemasan yang nazak sekalipun, akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam ambulans.

Persoalan 6 :
Jadi, macam kita ni yang guna travel insurans, kalau jadi sesuatu emergency, masih boleh dirujuk la di hospital-hospital selagi faktor di atas tiada?

Jawapan :
Saya tiada pengalaman bab ini, tak berani nak jawab 100% “YA”. Jika ikutkan common sense saya sepatutnya ok.

Tapi semua tu pulak akan bergantung pada polisi insurans itu sendiri vs polisi hospital yang dikunjungi itu pulak.

Persoalan 7 :
Apakah perkara tolak menolak pesakit kecemasan ini berlaku di semua hospital di seluruh Jepun?

Jawapan :
Tidak. Kebanyakkan kes-kes tolak menolak pesakit ni berlaku di bandar-bandar besar yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi seperti Tokyo, Osaka, Sapporo dan lain-lain.

Saya berpengalaman naik ambulans kerana kes asthma juga, semasa belajar di Kolej di Matsue, Shimane dulu. Alhamdulillah saya diterima masuk ke wad kecemasan tanpa banyak soal.

Salah satu faktor utama ialah kerana Matsue ini boleh dikira sebagai kawasan kurang penduduk.

Penerangan saya di atas kebanyakkannya berkisar pada pengalaman saya mendapatkan rawatan di Jepun sewaktu saya bermastautin di sana dan sewaktu tidak lagi bermastautin di Jepun. Dan juga dari sedikit maklumat daripada internet.

Saya ada dengar perkhabaran dari rakan kita Tuan Farhan Wahab, mengatakan ada kes satu keluarga yang pergi melancong ke luar negara, tiba-tiba anaknya demam.

Pada mulanya mereka fikir hanya demam biasa. Selepas 3 hari demam masih tak kebah. Waktu tu mereka dah pulang ke tanahair, dan terus membawa anaknya ke Hospital di Malaysia, syangnya sudah terlambat katanya. Anaknya didapati telah terkena masalah buah pinggang.

Jadi pengajarannya, kalau anda rasa perlu nak pergi klinik sewaktu melancong, pergi lah. Dan sentiasa sediakan wang untuk kecemasan seadanya mungkin. Saya dah sebut anggaran kos yang mungkin dikenakan di atas untuk kes pesakit luar.

Sediakan payung sebelum hujan.

Baca lagi: 16 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Penginapan Bajet Rendah Bila Travel Di Jepun