Atas permintaan beberapa sahabat yang mahukan maklumat lengkap tentang jadual perjalanan, maka Abby buat lah sedikit travelog.

Lebih seminggu Abby travel solo di Kashmir bermula dari 21hb April dan tiba di Malaysia pada 1hb May 2017. Benarlah, tatkala bermusafir dengan niat yang baik. Allah bagi banyak kemudahan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Abby buat rujukan lebih dari 6 bulan untuk kesini. Melalui carian, google, masuk group travellers dan hasilnya..

Di setiap tempat Abby pergi ada saja yang tawarkan untuk tinggal di rumah dan hotel mereka, sama ada percuma atau diskaun.

Benar Kashmir bukan tempat bagi yang penakut ya untuk melancong seorang diri. Sebabnya, dari nak masuk ke Lapangan Terbang pun bermacam urusan. Nak balik pun sama.

Pemeriksaan pusat kawalan keselamatan disana sini. Imbasan beg berkali-kali. Ada yang kena selongkar beg.Abby pula terpaksa berkaki ayam, sebab kasut dikesan ada sesuatu. Adeh.. Dalam tu ada besi bentuk pisau. Nasib pengawal tu bagi balik kasut. Kalau tidak huwaaa. Selamat datang ke Kashmir tanpa kasut.

Hari ke 1 dan 2 (21hb – 22hb April 2017)

Abby bertolak dari Kedah dengan penerbangan pagi dan melangut tunggu pukul 7 petang untuk penerbangan ke New Delhi.

Sampai Lapangan Terbang Delhi pukul 11 malam. Sebaik tiba Abby cepat-cepat cari kaunter Air Asia untuk perjalanan ke Srinagar. Malangnya kaunter di tutup sehingga pukul 3 pagi.

Jadi Abby tidur di atas bangku menunggu. Tak peduli orang lalu lalang. Sempat juga bersembang dengan pelancong dari USA dan Zimbabwe.

Pukul 3 pagi Abby ke kaunter Air Asia, ramainya dah beratur. Abby pun ikut serta. Pukul 4 pagi semuanya selesai dan Abby terpaksa menapak mencari pintu 41 ke Srinagar.

Perjalanan ke Srinagar disajikan dengan pemandangan yang indah. Pemandangan dari mata burung yang memang tak tahu nak cakap, gunung ganang dilitupi salji yang mula mencair.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Srinagar, Abby menuju ke satu tempat untuk mengistiharkan diri sebagai pelancong. Memang Abby tahu harus tulis banyak borang pengistiharaan, macam-macam dan beg akan diselongkar.

Syukur Allah permudahkan, pegawai tu sedang makan dan dia tunjuk isyarat ‘awak boleh pergi’. Okay, keluar dari Lapangan Terbang. Mak ai, diserbu pula dengan 5 orang anggota polis.

Mereka tanya macam-macam. Kenapa datang seorang? Kemudian Abby bagitahu Abby datang untuk tolong orang Kashmir bagi perniagaan, hidupkan Kashmir yang ditekan. Abby cakap Abby akan bawa lebih pelancong. Mereka teruja. Hasilnya Abby ‘dibebaskan’. Hehehe.

Tentera India kiri kanan, tetapi mereka tidak ganggu pelancong. Salah seorang polis dapatkan teksi dan Abby menuju ke Dal Lake.

Malangnya rumah bot yang Abby tempah tak boleh di duduki. Rupanya sekarang salji mencair dan banyak rumah bot ditutup sebab banjir, dan air masuk ke dalam rumah bot.

Jadi pengurusan di situ tolong Abby dapatkan hotel setaraf sebagai gantinya. Petang Abby berjumpa dengan jurugambar dan dia temani ke tulip garden, ambil gambar dan ronda sekitar Dal Lake.

Malam tu keluar lagi ke Dal Lake, serius orangnya di sini sangat prihatin. Mereka jaga pelancong. Abby ada terserempak dengan beberapa orang Malaysia di Dal Lake.

Hari ke 3 (23hb April 2017)

Selepas sarapan, jalan sekitar 1km untuk dapatkan Bas atau Jip ke Gulmarg. Tak ada bas terus ke Gulmarg ketika tu. Jadi, selepas tanya orang sekitar, mereka suh naik Jip Taveira yang berhenti-henti ambil penumpang ke Tanmarg dan dari Tanmarg ambil bas ke Gulmarg.

Abby hubungi seorang kawan di sini bernama Ulfat dan dia suruh Abby tunggu di Tanmarg.

Okay, perjalanan pun bermula. Pemandu bernama Basha ni agak kasar memandu dan setiap kali turunkan orang dia akan tunggu sampai penuh supaya perjalanan lebih menguntungkan. Tetapi walau lama perjalanan, tak bosan langsung sebab pemandangan yang masya-Allah indahnya.

Disajikan dengan Ladang Mustard menguning kiri kanan. Sempat merayu untuk berhenti ambil gambar.

Sampai di Tanmarg, sahabat Abby sudah menunggu dan kami di tawarkan Basha untuk hantar ke Gulmarg dengan syarat pergi-balik dengannya, sebab katanya kalau pulang kosong dia rugi. Okay kami setuju.

Sampai di Gulmarg salji mula turun. Tetapi bentuk salji berat seperti hujan batu. Saljinya berketul dan sakit bila jatuh di muka. Abby naik Gondola sampai fasa 1 saja sebab dah tak tahan kesejukan.

Sampai di kawasan untuk ke Gondola harus berjalan 1.5km ke stesen gondola. Rupanya jalan tu ditutup untuk pelancong untuk bagi laluan pada pengusaha kuda untuk bawa pelanggan dan penyewa boot salji.

Nak jimat punya pasal kami berjalan kaki, hehe letih gak ai.

Pengalaman tidak dapat dilupa, ketika Gondola sedang memuncak naik tiba tiba elektrik mati. Kami tergantung tanpa elektrik sekitar 15 minit.

Selesai ambil gambar dan video kami turun, dan berjalan hampir 1.5km lagi. Wah exercise gila hari ini.  Basha pula sedang tunggu untuk bawa kami ke Tanmarg.

Dari situ Abby berpisah dengan Ulfat. Abby pulang ke Srinagar dengan bas. Ramainya menegur, tanya dari mana.

Bas turunkan Abby di satu kawasan macam pasar sehari. Wah gila membeli-belah lah pula. Orang memandang je, sebab pelik dari mana manusia ni. Hidung dah la penyet, rendah pula tu.

Selesai angkut tudung shawl murah murah antara RM3 – RM6, Abby berjalan lagi. Dengar konduktor bas teriak dari atas bas. “Dal Gate! Dal Gate!” Abby tahan dan naik bas lagi.

Konduktor minta duit tambang, alamak duit kecil habis. Abby hulur duit RP2000 sekitar RM130 duit kita. Abby memang tak ada duit kecil ketika tu. Seorang tua sebelah Abby tolong bayarkan RP15 (sekitar RM1). Hehehehe. Terima kasih pakcik, dia tak pandai Bahasa English jadi konduktor bas tu tolong terjemahkan.

Sampai Dal Gate, bas pun berhenti. Abby tanya orang lalu lalang bagaimana nak ke rumah penginapan seorang kenalan bernama Yousuf. Dia janji nak bagi murah RS1000 semalam.

Mereka tolong hubungi pemilik hotel dan pekerjanya datang ambil.

Hari ke 4 (24hb April 2017)

Tidak menghampakan permintaan seorang kenalan Abby tinggal di rumah bot berdekatan kawasan Jeelum River. Rumah bot terdiri daripada kediaman mereka sekeluarga dan untuk tetamu.

Ibu dan bapanya menyambut baik dan melayan Abby. Kenalan Abby pula macam sibuk dengan kerja dia. Amat bosan sebab rasa tak ada apa disitu. Malam sangat sejuk sebab air salji mencair melalui kawasan rumah bot mereka.

Tetapi Abby dapat rasa sesuatu dari pandangan bapanya seperti ada sesuatu. Beria-ia tak mahu lepaskan Abby ke mana-mana. Dia seolah-olah macam kawal Abby.

Abby cakap mahu ke Sonamarg, dia nak ikut temankan Abby. Cakap mahu ke Pahalgam pun nak ikut. Eh risaulah pula, sebab Abby terima mesej dari dia seolah ada ‘sesuatu’. Hmmm sampai nak ikut Abby balik Malaysia, dan sebut lelaki boleh kahwin dua tiga empat.

Abby dah cuak. Dia seolah-olah tak benarkan Abby ke mana-mana. Dia pegang je beg troli Abby. Sebaik dia leka, Abby ambil beg bayar duit penginapan pada isterinya dan Abby pun pergi.

Nasib baik dapat auto atau beca Mmtor cepat. Memang rasa sikit trauma bila ingat kisah tu. Bayangkan jam 9 malam Abby ibarat lari dari rumah dengan beg sandang dan beg troli.

Hari ke 5, 6, 7 (25hb, 26hb, 27hb April 2017)

3 hari di Anantnarg. Perjalanan dari Srinagar ke Pahalgam, Abby singgah makan Capati di Sangam. Dan kemudian tukar Van Angkut di Bijbehara.

Orang sini agak suka memandang kalau kita berlainan sikit. Jadi kalau nak rasa budget ala Rozita Che Wan haa boleh la.

Di Pahalgam, Abby menginap di hotel milik Ishaq dan dia bagi diskaun 60% . Nama je duduk hotel, tetapi untuk tidur je sebenarnya.

Kerana seharian menjelajah Kampung dan Beetab Valley, Abby jalan kaki tau. Hampir 14km pergi balik dari Hotel ke Beetab Valley dan naik kuda ke Baisaran serta kereta ke Aru, puas memang puas.

Abby dibawa berjalan- jalan ke sekitar kampung oleh adik-beradik Ishaq yang semestinya cantik-cantik, dan suasana yang nyaman sejuk menggigil ditambah hujan memang tak mungkin dapat dilupa. Gembira tahap tungging buyung yorrr.

Malam Abby dibawa ke rumah mereka makan capati dan teh kehwa. Jiran-jiran pun datang meraikan. Haaa sebut pasal kehwa, Abby sampai ketagih teh kehwa ni tau. Abby beli bawa balik.

Hari berikutnya Abby ke Nanil melawat keluarga Reshi sambil melihat pemandangan indah Ladang Mustard. Gila lawa wey, malam tidur di ladang epal dan belakangnya ada ladang mustard dan walnut. Indah tak tergambar, sempat jenguk perkahwinan masyarakat di situ.

Perjalanan balik ke Srinagar kebetulan di dalam bas Abby berjumpa dengan jiran tempat Abby akan menginap. Jadi, kami turun tak jauh dari Abdullah Bridge dan Abby naik motor dia, nasib dia tak bawa lari. Risau juga, tapi banyakkan tawakkal, redah.

Kebanyakan pengangkutan Abby dari tempat ke tempat lain adalah dengan jip pelancong atau bas. Tambang murah dan dapat berjumpa ramai orang, semua peramah. Tapi ada yang tak boleh berbahasa English. Hanya guna bahasa isyarat. Heeehee.

Tak kisahlah janji dapat berkomunikasi.

Hari ke 8, 9, 10 (28hb ,29hb ,30hb April 2017)

3 hari terakhir Abby di jemput ke rumah bot mewah milik kenalan bernama Mustapha kat Dal Lake. Kebetulan malam tu ada bilik kosong.

Jadi Abby dapatlah duduk di sana. Wow, macam permaisuri dilayan di situ. Nanti anda tengoklah foto. Kalau ada yang berminat nanti tanyalah Abby. Ada pengurus disediakan di setiap rumah bot.

Hari terakhir Abby di jemput oleh isteri dan ibu Mustapha ke rumah mereka berhampiran Mughal Garden. Dilayan sangat baik. Isteri Mustapha berbangsa Jepun dan mereka tinggal beramai-ramai di dalam rumah 3 tingkat. Malamnya kami berceloteh sampai pagi.

Abby tidur di sana satu malam dan esoknya dihantar Mustapha ke lapangan terbang.

Di Lapangan Terbang Srinagar Abby perlu melalui rutin biasa keselamatan. Juga ada sesi pengecaman beg sebelum masuk ke kapal. Harus keluar dari bangunan lapangan terbang tau. Dah sah hak kita barulah mereka masukkan ke dalam kenderaan yang bawa ke kapal terbang. Abby ambil penerbangan Go Air menuju ke Delhi.

Sebaik keluar dari terminal 1 Abby terus mencari bas shuttle ke terminal 3 sebab penerbangan Abby AirAsia ada di terminal 3. Memang masa pun cun, naik je bas, bas terus berjalan.

Waktu tu dah jam 8 dan dalam bas ada Abby seorang je perempuan. Konduktor datang minta duit RS25. Alamak Abby tak ada duit kecil. Abby bagi dia RS2000.

Dia geleng kepala menandakan dia tak ada wang baki. Tak perlu bayar. Aduhai, Alhamdulillah.

1hb Mei 2017

Abby selamat sampai ke Malaysia.

Melancong seorang diri ni, memang seronok kalau tak ada masalah, tetapi kalau ada masalah. Kena hadaplah seorang-seorang.

Kashmir, sebuah Negara ibarat aku berada di Kanada, UK, Holland, Iceland tetapi sajian makanan 100% halal dan milik orang Islam.

Insya Allah, September Abby ulang lagi pergi ke sana tapi sampai ke Ladakh dan Leh rasanya sebab banyak hari, atau ke Manali dan Shimla. Tengoklah macam mana.

Baca: Mahu Travel Ke Kashmir? Baca 11 Tip Penting Ini Dahulu

Baca lagi: 15 Tip Percutian Awesome 9 Hari Kami Di Kashmir, Agra Dan Delhi Di Musim Sejuk