Alhamdulillah, saya mungkin insan terpilih untuk menjejakkan kaki ke Bosnia and Herzegovina sempena cuti musim panas baru-baru ini. Bosnia (ibu negara Sarajevo) merupakan sebuah negara multi-etnik yang terletak di timur laut Eropah.

Juga dikenali sebagai kumpulan negara banjaran Balkan terdiri dari Serbia, Montenegro, Croatia dan Slovenia. Kenapa saya pilih untuk ke Bosnia sedangkan rakan-rakan Inggeris saya begitu skeptikal dengan negara yang dikatakan tidak stabil yang asyik berperang sesama mereka.

Bas Smart Selangor Cover
HYPE
Patutkah Caj RM1 Dikenakan Buat Warga Asing Yang Naik Bas SMART Selangor?
Baca lagi →

Mereka tanya kenapa saya tidak ke German atau Denmark yang lebih selamat? Kenapa nak ‘membahayakan’ diri untuk ke Bosnia yang seperti Syria Eropah?

Disebabkan saya sangat sukakan subjek sejarah sejak zaman sekolah maka saya memilih negara ini sebagai destinasi untuk saya mengenali lebih dalam mengenai sejarah Perang Balkan yang berlaku sejak perang dunia pertama berlanjutan sehingga awal pertengahan tahun 90an.

Bosnia tempat pertama Perang Dunia Pertama dimulakan pada tahun 1914 setelah pembunuhan pewaris takhta Empayar Austria-Hungary, Archduke Franz Ferdinand serta isterinya Sophie sewaktu lawatan di Sarajevo.

Perang Dunia Pertama ini merupakan detik kejatuhan empayar-empayar hebat seperti Austri-Hungary, Turki Uthmaniyyah serta Empayar Russia dan seterusnya menjadi titik permulaan penubuhan negara-negara bersekutu seperti Soviet Union (Russia), Poland, Lithuania, Latvia, Estonia, Czechslovakia serta negara-negara di timur tengah. Kalau perang dunia bermula di Republic of Congo pun mungkin saya sanggup redah ke Afrika untuk ke sana!

Penerbangan saya bermula dari Manchester-Munich-Sarajevo. Sampai di Bosnia, host Airbnb saya ambil di airport dan itulah kali pertama saya melihat bumi Bosnia. Pertama kali melihat bangunan-bangunan yang berlubang-lubang bekas peluru. Seperti masuk ke zon perang perasannya.

Sepanjang berada di Bosnia, saya bertanya kepada rakyat mereka mengenai perang Bosnia yang berlaku 23 tahun lepas dan sempat mempelajari beberapa perkara penting.

travel-ke-bosnia-1

Makanan tradisional Bosnia. Sarajeski sahan.

travel-ke-bosnia-2

Sekitar Old Town of Sarajevo.

Sedikit penerangan ringkas mengenai Perang Bosnia yang mengambil masa hampir 4 tahun (1992-1995). Bosnia merupakan serpihan wilayah dari Republic of Yugoslavia (sebuah negara komunis yang terdiri dari Serbia, Croatia, Slovenia dan Montenegro) dimana Belgrade, Serbia merupakan ibu negara Yusgoslavia.

Majoriti penduduk Bosnia beragama Islam manakala Serbia, Croatia, Slovenia dan Montenegro terdiri dari Christianism (Orthodox dan Roman Katholik). Apabila President Tito yang memimpin Yugoslavia mati pada tahun 1984, Yugoslavia bergolak dan kemudiannya berpecah membentuk Republic of Slovenia, Croatia, Montenegro dan akhirnya Bosnia.

Pembentukan negara-negara ini berlaku pada tahun 1991 kecuali Bosnia pada tahun 1992. Pada mulanya, penubuhan Bosnia sangat ditentang golongan Bosnian Serbs dan Bosnian Croats yang mendakwa Bosnia adalah sebahagian dari negara Serbia dan Croatia.

Golongan ini turut mendapat sokongan ketenteraan dari Serbia dan Croatia. Pada tahun 1992, Serbia dan Croatia telah menghantar tentera mereka untuk ‘menjajah’ wilayah Bosnia ini. Ada yang kata sebenarnya penaklukan ini berkisar kepada perkauman dan keagamaan, sebab Serbia tidak menyukai Islam yang rata-rata dianuti orang Bosnia.

Rakyat Islam Bosnia menolak penaklukan ini telah bersatu dengan dibantu United Nation troop (Askar PBB) untuk mempertahankan negara mereka. Warga Islam Bosnia dibantu oleh negara-negara Islam dari segi kewangan dan senjata. Sekitar tahun 1992-1996, seramai 101,000 (sumber: Wikipedia) mati dalam pergolakan ini dan jumlah ini sebenarnya tidak rasmi.

Seramai 1 juta rakyat melarikan diri menjadi pelarian politik di sekitar Eropah barat serta Amerika. Host Airbnb saya juga melarikan diri ke Sweden tahun itu. Ramai rakyat Bosnia yang terkorban telah melalui seksaan dan kematian yang sangat dasyat; pembersihan etnik (genocide) pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Serbia.

Kem-kem konsentrasi (concentration camps) dibina di beberapa tempat untuk menyeksa dan membunuh warga Bosnia. Saya memberanikan diri masuk kedalam muzium genocide yang mempamerkan kekejaman serta genocide yang dilakukan oleh tentera Serbia.

Ya, menitis air mata saya lihat video serta mayat-mayat yang bergelimpangan selepas ditembak bergilir-gilir. Wanita Islam Bosnia diperkosa bergilir-gilir. Ada pasangan Arab di hadapan saya keluar dari muzium tersebut sebab tak sanggup tengok footage serta gambar-gambar kejam.

Menurut sumber muzium, mereka hanya dapat menjejak 8000 mangsa yang ditanam besar-besaran di kubur-kubur sekitar Bosnia dan banyak lagi kubur besar lain yang masih tidak dapat dijejak sehingga sekarang. Antara 8000 mangsa, sekitar 5000 berjaya dikenal pasti dan dikuburkan semula.

Paling menyayat hati apabila saya melihat gambar seorang mangsa genocide yang mati bersama anak yang dikandung 8 bulan. Bayi itu dijumpai masih di dalam perut ibunya, bersama peluru menumbusi kepalanya kecilnya. Kejam bukan?

Perjanjian damai antara Bosnia dan Bosnian Croats (Washington Agreement) ditandatangani pada tahun 1994, dan perjanjian damai antara Bosnian Serbs dimetrai pada tahun 1995 di Amerika (Dayton Agreement) sekaligus menamatkan konflik berdarah ini.

Peta Bosnia juga telah berubah di mana institusi politik terbahagi kepada dua entiti iaitu Federation of Bosnia and Herzegovina yang diketuai oleh orang Bosnia serta Republic of Srpska yang diketuai oleh Bosnian Serbs.

PBB telah menubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia (ICTY) untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah jenayah perang (war criminal) yang terdiri dari pegawai-pegawai tentera Serbia.

Tribunal ini dilaksanakan di The Hague, Belanda. Seramai 161 penjenayah perang telah didakwa dan kebanyakannya telah pun dijatuhkan hukuman sementara yang lain masih dalam perbicaraan. Lama betul, 23 tahun kes ni masih berjalan. Tribunal ini juga adalah untuk memberikan hak dan keadilan kepada rakyat Bosnia yang dianiaya sewaktu perang Bosnia.

Baca: Mengembara Solo Ke Bosnia Dan Handphone Dicuri, Gadis Ini Berkongsi 8 Tips Penting

travel-ke-bosnia-3

Plat yang diletakkan berhampiran jalan dimana waris empayar Austria Hungaru dan isterinya dibunuh sewaktu lawatan si Sarajevo.

travel-ke-bosnia-4

Replika kereta yang membawa mangsa sebelum dibunuh.

travel-ke-bosnia-13

Senarai penjenayah perang yang dikehendaki ICTY.

travel-ke-bosnia-14

Sokongan dari pelusuk dunia.

travel-ke-bosnia-15

Sewaktu melawat muzeum genocide di sarajevo. Kesemua ini bukti-bukti yang dijumpai sewaktu penggalian. Antaranya IC, medical card, tulang belulang, jam serta beberapa barangan peribadi.

travel-ke-bosnia-16

Bahan letupan yang dijumpai di pelbagai tempat.

travel-ke-bosnia-17

Saya bersama tour guide Bosnia.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang diceritakan oleh penduduk Bosnia ini, mata saya terbuka seluas-luasnya. Sedar tak sedar ada di kalangan kita yang kufur nikmat. Kita juga pernah dijajah, tapi bukan kita yang rasa sebab sebilangan kita belum lahir pada masa itu terutamanya generasi Y.

Pepatah Inggeris menyebut, “what the eyes don’t see heart don’t feel”. Ya, itu adalah kita yang rata-ratanya lahir selepas merdeka. Ada tak kita terfikir betapa bertuahnya kita hidup di bumi Malaysia yang aman?

Mungkin ngara kita bukan negara sempurna, tetapi sebenarnya apa yang kita perlukan lebih dari cukup. Terdapat beberapa pengajaran yang dapat saya dalami dari sejarah peperangan Bosnia ini;

1. Kesetiaan kepada negara

Sewaktu perang, sebilangan warga Bosnia menjadi pelarian politik di negara-negara Eropah Barat. Namun megitu majoriti rakyat Bosnia (menurut sumber) memilih untuk tinggal dan mempertahankan negara mereka dari serangan Croatia dan Serbia.

Peristiwa kepungan Sarajevo (Siege of Sarajevo) telah memerangkap rakyat Bosnia di antara bedilan Serbia menyebabkan ramai yang terkorban dan syahid. Apabila perang tamat, sesetengah pelarian politik yang tinggal di luar negara kembali semula ke Bosnia dan mereka mampu membeli aset sedangkan mereka yang berhempas pulas mempertahan negara dan agama tidak mendapat apa-apa faedah.

Adakah ini dikatakan adil? Adakah mereka yang melarikan diri ini setia kepada negara? Kita selalu bangga yang kita cintakan negara, tetapi apabila berlaku peperangan adakah kita akan setia dengan negara?

Atau adakah kita akan lari ke negara lain? Sanggupkan kita berkorban di tanah air sendiri? Saya bertanya diri sendiri, dan masih tiada jawapan. Saya tak layak bergelar patriotik.

2. Kepada Tuhan kita berserah

Sebagaimana diceritakan kepada saya, sewaktu peperangan, semua masjid, gereja dan cathedral sesak dipenuhi oleh rakyat Bosnia. Kerana apa? Setiap saat mereka hampir kepada kematian.

Kerana setiap hari hidup dalam ketakutan, berdoa merupakan jalan terakhir untuk mereka mengharapkan belas ehsan Tuhan untuk hidup serta memohon keampunan. Ironinya, setelah perang tamat, rumah-rumah ibadat ini tidak lagi dipenuhi orang ramai dan hal ini menunjukkan bahawa naluri manusia mencari Tuhan apabila terdesak.

Juga diceritakan bahawa, hampir setiap hari solat jenazah dilakukan. Keranda untuk jenazah tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa menggunakan almari untuk mengebumian.

3. Bertolak ansur demi keamanan

Saya bertanya kepada personal tour guide saya (Affan namanya). Adakah dia masih berdendam dengan orang Serbia walaupun peristiwa tersebut berlalu baru 23 tahun. Beliau menjawab “Demi sebuah keamanan, kami terpaksa lupakan perkara lepas untuk kestabilan bersama. Kami perlu bertolak ansur. Kalau tak, mungkin lepas ni perang lagi”.

Ayah Affan merupakan seorang askar yang terlibat sewaktu perang Bosnia. Selepas perang tamat beliau menjadi seorang pendiam akibat trauma. “He prefers not to talk about the war…” kata Affan.

Mungkin di Malaysia kita ada perbezaan politik, jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Bosnia, politik merupakan titik huru-hara bangsa mereka!

4. Aftermath (selepas perang)

Selepas perang disytiharkan tamat, hampir kesemua bangunan di Bosnia musnah akibat bedilan. Jambatan Mostar yang didirikan pada kurun ke 16 yang merupakan hasil seni Islam Turki Uthmaniyyah musnah sama sekali sebelum dibangunkan semula pada 2004.

Bangunan-bangunan seperti sekolah, hotel, rumah dan masjid juga mengalami kerosakan teruk dan kemudiannya dibaik pulih dengan hasil bantuan negara-negara luar, termasuk dari Malaysia! Bosnia juga menanggung beban hutang yang tinggi akibat dari peperangan ini.

Bosnia pernah maju sewaktu di bawah Repubik Yugoslavia selama 50 tahun sehinggakan mampu menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1984, tetapi semuanya musnah tak sampai setahun kerana perang!

travel-ke-bosnia-12

Wanita Bosnia.

travel-ke-bosnia-9

Bangunan kampus Universiti of Sarajevo yang masih berbekas kesan peluru.

travel-ke-bosnia-11

Melawat kawasan perkampungan Bosnia terletak di Lukomir. Rumah ini merupakan rumah tradisional Bosnia yang didirikan di atas gunung

travel-ke-bosnia-10

Suasana kampung.

travel-ke-bosnia-8

Tasik Blagaj berhampiran sebuah rumah rehat bagi para musafir yang datang dari turki pada kurun ke 15. Tasik ini dikategori dalam UNESCO.

travel-ke-bosnia-6

Bergambar dibawah Jambatan Mostar. Jambatan ini dibina pada kurun ke 16 dibawah pentadbiran empayar Turki Uthmaniyyah sebelum dimusnahkan oleh tentera Croatia pada tahun 90 an untuk menyekat bekalan makanan serta perubatan kepada penduduk setempat.

travel-ke-bosnia-7

Jalan masuk ke Old Town Mostar.

Dengan pengalaman ini, ia cukup menyinsafkan dan menyedarkan saya beetapa pentingnya untuk kita bersatu dan mengekalkan keamanan negara tercinta, bukan sahaja mengaku cintakan negara tetapi di waktu yang sama bergaduh sebab perbezaan politik!

Dengan itu, hendaklah kita semua mensyukuri dengan nikmat keamanan yang kita kecapi.

Saya akhiri dengan sebuah ayat dari Surah Al-Baqarah;
“Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku.” (Al-Baqarah 2:157)

Selamat Hari Merdeka yang ke 60 tahun, Malaysia. Negaraku, sehati sejiwa.

Sekian,
Dr. Intan Noor Aina Binti Kamaruzaman

Baca lagi: Bagaimana Trip Travel Pemuda Ini Bertukar Menjadi Bantuan Buat Warga Miskin Bosnia

Artikel di atas disumbangkan oleh Dr. Intan Noor Aina. Penulis merupakan seorang pelajar yang sedang menyambung pelajaran peringkat PhD di sebuah universiti di luar negara. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka