Pembuat telefon pintar terkenal China dalam perjalanan mereka menjadi syarikat teknologi terbesar dunia.

Kita dapat lihat bagaimana teknologi akan berkembang dalam masa beberapa tahun akan datang dengan melihat syarikat yang berjaya menganggu atau ‘disrupt’ ekosistem industri teknologi pada sesuatu masa itu. Contohnya, sedekad lalu Google menjadi nombor satu dalam teknologi enjin carian moden, mengatasi pesaing-pesaing portal web, dan dari situ berkembang menjadi syarikat perintis yang berkeupayaan menawarkan pelbagai penyelesaian menggunakan teknologi terkini. Kemudian, datangnya Facebook menjadi gergasi dalam bidang media sosial, dan pada masa kini telah berjaya membeli beberapa solusi teknologi berpengaruh seperti Whatsapp dan Instagram. Pada tahun ini, gergasi baru yang akan menggegarkan industri teknologi adalah satu syarikat yang baru mendapat perhatian dalam pasaran US hanya pada tahun lalu iaitu Xiaomi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Xiaomi berjaya membina identiti tersendiri, dan membezakan syarikat mereka berbanding pembuat telefon pintar berasaskan sistem operasi Android yang lain. Pada masa yang sama ia juga berjaya meningkatkan pegangan pasaran telefon pintar global daripada 2.1% pada tahun 2013 menjadi 5.3% pada akhir tahun 2014.

Faktor utama kejayaan drastik ini adalah disebabkan Xiaomi mereka bentuk perkakasan dan firmware mereka sendiri. Antara muka MIUI Xiaomi menjadi pemangkin kelajuan dan keanggunan telefon mereka, dan sering dibandingkan dengan iPhone atau Samsung, tetapi dijual hanya pada separuh harga dua pesaing itu. Kebanyakan penjual telefon Android yang lain bergantung kepada template reka bentuk yang sama oleh pengeluar pihak ketiga seperti Foxconn.

Strategi Xiaomi yang menawarkan gajet berkualiti tinggi pada harga rendah mengancam model bisnes beberapa syarikat besar, seperti di bawah:

Samsung. Di China, pegangan pasaran Xiaomi meningkat daripada 5% menjadi 15% pada tahun lepas. Manakala pegangan pasaran Samsung menurun daripada 19% menjadi 12%. Menurut IDC, eksport telefon Samsung ke China telah menurun sebanyak 22% pada tahun 2014.

Samsung adalah jenama terkenal di beberapa buah negara membangun, tetapi Xiaomi mengumumkan pada bulan Januari tahun ini yang ia akan membuat pemasaran aggresif di beberapa buag negara membangun seperti Brazil dan Rusia. Xiaomi berjaya memperolehi 4% pegangan pasaran di India selepas mengembangkan sayap mereka di sana pada bulan Julai tahun lalu. Modal yang diperoleh sebanyak USD $1.1 bilion pada Disember tahun lalu akan digunakan untuk membina kilang dan bajet pemasaran di negara-negara baru.

Apple menawarkan telefon pintar pada harga premium. Dan Xiaomi menawarkan telefon pintar yang berkualiti pada harga rendah. Samsung akan mengalami krisis untuk memposisikan produk mereka dalam pasaran. Xiaomi juga bercadang untuk menjadi pengeluar dalam bisnes asas Samsung yang lain – iaitu televisyen. Pada bulan November, Xiaomi melabur $200 juta kepada Midea group, iaitu sebuah syarikat pengeluar elektronik, dan bercadang untuk membelanjakan $1 bilion untuk membina ekosistem televisyen mereka sendiri.

BACA: Perubahan Perjalanan Bisnes Samsung Daripada Syarikat Pengeksport Ikan Kering Menjadi Syarikat Teknologi Ternama

GoPro. Xiaomi merancang untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat. Tetapi oleh kerana pasaran telefon pintar yang kompleks di sana, Xiaomi hanya akan mula memasuki pasaran US melalui penjualan tracker kecergasan, headphone dan aksesori lain.

Pada bulan Mac, Xiaomi mengumumkan mereka akan mula menjual Yi Camera, kamera aksi dengan definisi tinggi 1080p, dan ramai yang membandingkannya dengan kamera Hero oleh GoPro. Perbezaannya, Yi Camera dijual pada harga $64, separuh harga berbanding Hero. Malah Yi Camera menawarkan kamera 16 megapixel pada 60 frames sesaat. Dan lagi sekali, mereka menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga rendah.

Jenama GoPro adalah lebih kuat di US berbanding Xiaomi. Sekiranya itu berubah, GoPro terpaksa membuat keputusan sukar sama ada menurunkan harga Hero atau melihat pegangan pasarannya menurun. Saham GoPro telah mengalami penurunan harga sebanyak 39% disebabkan kerunsingan pasaran sama ada ia dapat mengekalkan kadar pertumbuhan sekarang. Kadar kejayaan kamera Xiaomi hanya akan menyebabkan kerunsingan pasaran bertambah.

Google. Sebagai sebuah syarikat pembuat telefon pintar berasaskan Android, anda mungkin fikir kejayaan mereka akan mempengaruhi pendapatan Google melalui pengiklanan online. Akan tetapi, servis dan aplikasi mudah alih Google disekat di China, menyebabkan syarikat tempatan seperti Alibaba dan Baidu belajar untuk menggunakan telefon Android tanpa menggunakan API Google.

Google tidak pernah berjaya menapak di China. Akan tetapi tidak diketahui bagaimana Google apps akan digunakan dalam telefon pintar Xiaomi yang dijual di luar China. Menurut Hugo Barra, Timbalan Presiden Xiaomi dan bekas pekerja Google, membayangkan mereka tidak akan mengeksport app store yang mereka gunakan untuk pasaran China ke luar China.

Apple. Melihat populariti iPhone 6 di China dan seluruh dunia, Apple kelihatan imun terhadap ancaman Xiaomi. Tetapi berikan Xiaomi beberapa tahun, dan tidak mustahil untuk membayangkan pengeluar China ini bertarung dengan produk terbaik keluaran Lembah Silikon ini.

Antara muka MIUI Xiaomi adalah beberapa tahun di belakang Apple iOS, tetapi itu tidak menghentikan orang ramai daripada membuat perbandingan dengan iOS. MIUI juga direka bentuk untuk digunakan dalam semua jenis peranti, seperti telefon, tablet dan wearables.

Produk-produk yang sedang atau akan ditawarkan oleh Xiaomi juga banyak menyerupai Apple – seperti televisyen pintar yang menerima konten digital secara streaming, tracker kecergasan yang menyerupai jam pintar Apple dan headphone bergaya yang diperbuat menggunakan logam berwarna emas.

iPhone yang terawal tidak begitu berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh pasaran. Sekiranya itu berlaku lagi dan pengalaman penggunaan Mi menyerupai iPhone, Xiaomi berpeluang mencuri pegangan pasaran Apple. Mereka sudah mula bersaing secara agresif melalui laporan The Guardian ini.

Sudah tentu Xiaomi akan menghadapi kesukaran dalam memajukan syarikat mereka, seperti saman paten yang mereka hadapi di India. Pesaing mungkin menggunakan litigasi paten untuk memperlahankan perkembangan global Xiaomi, akan tetapi syarikat bernilai $45 bilion dan merancang untuk melancarkan IPO, dengan mudahnya akan mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli portfolio paten mereka sendiri. Selain daripada itu, sukar untuk melihat apa-apa faktor yang akan memperlahankan perjalanan bisnes Xiaomi.

BACA JUGA: 8 Teknologi Yang Akan Mengubah Cara Anda Menjalani Kehidupan Seharian

Sumber: Time

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram