Pembelian syarikat teknologi gergasi merupakan salah satu cara untuk mengembangkan bisnes dan juga meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Malah, sejumlah syarikat gergasi sanggup membelanjakan sejumlah wang besar dalam memperolehi syarikat yang berpotensi.

Sejak beberapa dekad ini, sebenarnya terdapat beberapa syarikat gergasi yang berjaya memperolehi keuntungan dengan membeli syarikat pesaing di dalam pasaran. Oleh itu, mari kita lihat enam pembelian syarikat teknologi yang paling menguntungkan sepanjang zaman.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

1. Google membeli YouTube dengan harga RM7.78 bilion
Sumber Gambar: Peridico daily

Pada tahun 2006, Google telah berjaya memperolehi YouTube sepenuhnya yang mana platform tersebut telah memberi pulangan yang cukup lumayan berbanding dengan harga yang dibayar iaitu $1.65 bilion (~RM7.78 bilion).

Menariknya, YouTube menjadi engin carian kedua paling popular di dunia dan hanya dibelakang pemiliknya sahaja, Google. Malah, pada tahun 2020 sahaja, YouTube berjaya meraih pendapatan sebanyak $20 bilion (~RM94.7 bilion) sekaligus meningkatkan pertumbuhan syarikat induk Google dengan lebih rancak.

Berdasarkan sumber, YouTube telah berjaya menambahkan nilai pasaran Google sebanyak $86.2 bilion(~RM406.52 bilion). Sehingga ke hari ini, platform perkongsian video YouTube menjadi salah satu sumber besar kepada pertumbuhan syarikat dengan jumlah pengguna yang meningkat pada saban hari.

2. Facebook membeli Instagram dengan harga RM4.72 bilion
Sumber Gambar: wccftech

Sejak wujudnya Instagram, platform ini berjaya mengubah landskap pengguna dalam bersosial di dalam talian sekaligus mendominasi dunia media sosial. Oleh itu, Facebook membeli Instagram dengan harga $1 bilion (~RM4.72 bilion) dalam mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam arena media sosial.

Pemerolehan ini telah berjaya meningkatkan nilai pasaran Facebook sebanyak $153 bilion (~RM721.55 bilion). Selain itu, Facebook juga telah mencatatkan pulangan absolute return sebanyak $152 bilion (~RM716.83 bilion) sepanjang pemilikannya.

Tambahan pula, Facebook berjaya menjana pendapatan sekitar $20 bilion (~RM94.32 bilion) daripada media sosial Instagram sahaja. Sedangkan YouTube terpaksa membayar gaji kepada pencipta kandungannya, sementera semua wang yang dijana menerusi Instagram pula sepenuhnya masuk ke poket Facebook.

3. eBay membeli PayPal dengan harga RM7.1 bilion
Sumber Gambar: MacRumors

Pada tahun 2002, eBay telah membayar sebanyak $1.5 bilion (~RM7.1 bilion) untuk memperolehi PayPal sepenuhnya. eBay kemudian menjadikan ia sebagai sebuah syarikat awam bebas pada Julai 2015 lepas dan nilainya telah melonjak naik sehingga $47.1 bilion (~RM223.1 bilion).

Nilai tersebut merupakan 31 kali ganda lebih besar daripada apa yang dibayar oleh eBay pada 13 tahun lalu. Pulangan mutlak daripada perjanjian itu adalah $45.6 bilion (~RM216.05 bilion). Malah, sejak tahun 2020 PayPal mempamerkan keuntungan tahunan syarikat mencecah berbilion ringgit dengan margin bersih sehingga 14%.

4. Adobe membeli Marketo dengan harga RM22.5 bilion
pembelian syarikat teknologi
Sumber Gambar: Perketo

Marketo merupakan sebuah syarikat perisian automasi pemasaran yang berjaya dibeli oleh Adobe dengan harga $4.75 bilion (~RM22.5 bilion) pada Oktober 2018. Dengan pemilikan mutlak ini, Adobe dapat menambah baik platformnya iaitu Adobe Experience Cloud sekaligus menjadi pilihan utama syarikat gergasi dan pemilik bisnes di luar sana.

Menerusi laporan hasil suku kedua tahun ini , Adobe berjaya meraih pendapatan sehingga $2.61 bilion (~RM12.3 bilion) dengan kadar pertumbuhan sebanyak 12.6% pada saban tahun. Di samping itu, Adobe juga dapat mengukuhkan kedudukan mereka selaku penyedia platform pemasaran digital terbaik ketika ini.

5. Apple membeli NeXT dengan harga RM2.02 bilion
pembelian syarikat teknologi
Sumber Gambar: Medium

NeXT merupakan salah satu nama besar dalam industri sistem operasi menjelang sekitar tahun 90-an. Malah, ia juga dianggap setanding dengan sistem operasi seperti iOS, MacOS dan lain-lain.

Pada tahun 1997, Apple telah membeli syarikat ini dengan nilai pemerolehan sebanyak $429 juta (~RM2.023 bilion). Menerusi perjanjian ini, Apple telah berjaya mendapatkan pulangan absolute return sekitar $62.6 bilion (~RM295.22 bilion).

Selain itu, pemerolehan ini juga telah berjaya meningkatkan nilai pasaran syarikat Apple sebanyak $63 bilion (~RM297.11 bilion). Mengikut kajian, setiap wang yang masuk ke dalam pendapatan tahunan Apple mempunyai pengaruh NeXT padanya.

6. Priceline membeli Booking.com dengan harga RM636.66 juta
pembelian syarikat teknologi
Sumber Gambar: Bloomberg

Akhir sekali, pemerolehan ke atas laman sesawang tempahan hotel Eropah ini disifatkan sebagai antara yang paling menguntungkan dalam sejarah. Hal ini kerana pembelian ini telah meningkatkan nilai pasaran Priceline dalam jumlah puluhan bilion ringgit.

Syarikat itu juga telah memperolehi pulangan pelaburan mereka sekitar $46.6 bilion (~RM219.77 bilion). Secara tidak langsung, mencatatkan sebagai salah satu pemerolehan yang paling menguntungkan dalam sejarah.

Dengan peningkatan jumlah pelancong ke negara Eropah sejak berakhirnya pandemik, ia juga merancakkan lagi pertumbuhan pendapatan syarikat Priceline secara langsung.  Malah kini mereka dinobatkan sebagai platform agensi pelancongan dalam talian terbesar di dunia yang menghubungkan pelancong dengan hotel di seluruh dunia.

Pembelian syarikat teknologi gergasi sememangnya memberikan pulangan yang lumayan lebih-lebih lagi platform yang popular dan berpotensi untuk pergi jauh. Selain syarikat teknologi, syarikat start up seperti Carsome di Malaysia juga berjaya menjadi unicorn dengan adanya pelaburan besar daripada sejumlah syarikat di luar sana.