“Bagaimana orang boleh bina bisnes besar-besar, ada syarikat induk, dan anak-anak syarikat di bawahnya?”

“Bagaimana bangsa dagang membina syarikat konglomerat dengan jenama merentas negara?”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Bagaimana hendak bina bisnes seperti itu?”

Ini adalah persoalan yang pernah berligar-ligar di fikiran saya.

Pandang Belakang

Menyorot kembali bagaimana saya boleh terlibat dalam dunia bisnes.

Pada mulanya, saya terlibat dengan Vocket hanya untuk mempelajari ilmu media digital. Ketika itu, fikiran saya adalah untuk belajar, buat duit melalui media digital dan kemudian belajar buat syarikat.

Vocket bermula sebagai ‘padang permainan’ kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang lain untuk mempraktikkan ilmu kami. Bermula dari kosong, Vocket membesar, dan sekarang seperti yang anda lihat.

Beberapa bulan terlibat dengan Vocket, pembaca Vocket sudah cukup ramai sehingga akhirnya tuan guru kami, iaitu Fazreen mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah bisnes sebenar.

Akhir 2014, sudah tiba masa saya berhenti kerja dari sebuah syarikat minyak dan gas. Pada masa yang sama, saya dilamar oleh Fazreen untuk menyertai Vocket sebagai salah seorang co-founder.

“Ya!” Tanpa teragak-agak, saya bersetuju.

Setelah 2 tahun bergaul dengan orang-orang bisnes dan terlibat dengan bisnes sepenuh masa, ini apa yang saya belajar.

1. Bisnes adalah tentang membina.

Bisnes adalah tentang mencipta atau mengubah sesuatu yang tidak ada, kepada wujud, kepada kecil dan akhirnya membesar.

Seperti memelihara anak kecil, bisnes perlu ditatang dengan penuh minat dan kasih sayang.

Ini adalah penyebab kenapa sesetengah orang bisnes sudah jatuh terduduk pun, dia mampu bingkas semula.

Bisnes adalah tentang membina syarikat, pasukan, jenama, pelanggan dan produk.

Bisnes yang dibina dengan sikap-sikap positif akan menjadikan pendirinya bersemangat untuk terus berlari kencang.

2. Bisnes bukan tempat untuk lari dari masalah.

“Kenapa engkau berhenti kerja?”

“Kerana aku benci bos aku.”

“Kenapa engkau buat bisnes?”

“Kerana aku letih bekerja.”

Hakikatnya, bisnes bukanlah tempat untuk orang-orang yang penat.

Pelanggan boleh jadi lebih garang berbanding bos kita sebelum ini. Ada bisnes yang menuntut masa lebih daripada bekerja makan gaji.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, bisnes adalah untuk membina.

3. Selesaikan masalah.

Vocket hadir untuk menyelesaikan masalah pembaca-pembaca yang dahagakan ilmu.

Konten baru, segar dan bermakna, ditulis dan di-curate khas untuk pengguna-pengguna Vocket secara konsisten setiap hari.

Pelanggan yang gembira akan membeli berulang kali.

4. Leaders eat last.

Bisnes bukan cara pantas buat duit.

Kakitangan dan pasukan harus makan dahulu sebelum ketua. Bukan setakat mulut mak-mak atau bapa-bapa, mulut anak-anak kecil juga akan disuap hasil dari gaji yang disediakan oleh syarikat kita.

Pemilik-pemilik haruslah ikat perut dahulu untuk memastikan operasi syarikat berjalan lancar.

5. Belajar berkata, “Tidak!”

Sepanjang perjalanan bisnes, anda akan jumpa pelbagai tawaran menarik oleh jerung, bilis dan lain-lain (ikan kembung, mungkin).

Walaupun boleh berkata, ‘Ya’, berhenti dulu dan berfikir.

Adakah tawaran yang kita terima ini bakal mendekatkan syarikat mencapai objektif dengan lebih pantas.

Katakan, ‘Tidak’, sekiranya ini tidak menepati apa syarikat mahukan.

6. Ber-partner-lah!

Selain Vocket, syarikat-syarikat seperti Katsana, TheLorry.com, Tim Along dan Begejon adalah antara bukti-bukti kebaikan mempunyai rakan kongsi atau ber-partner.

Rakan kongsi mempunyai tugasan mereka tersendiri, menjadikan kerja dan operasi awal syarikat lebih teratur. Tidak perlulah hanya satu kepala terkejar-kejar melakukan itu dan ini.

Bisnes juga lebih mudah berkembang hasil daripada ber-partner.

Dan dalam diam, partner juga menjadi rakan gembira dan menangis bersama. Siapa kata rakan menangis susah dicari.

7. Berjalan di atas trek sendiri.

2 tahun lepas, ketika sesi #vockettalk yang pertama, Tuan Fazli founder Kukubesi dan Tuan Jaygan Fu, pengurus besar GM MyTeksi atau Grabtaxi, seolah-olah bercakap perkara yang sama.

Perkara ini pernah saya bincangkan dalam Facebook lebih kurang 24 purnama dahulu:

Persaingan adalah satu perkara yang sukar dikawal, tetapi perancangan syarikat sendiri adalah di dalam tangan kita.

Walau di-provoke semacam manapun, tutup mata dan jalan terus. Laksanakan apa perkara yang telah dirancang.

8. Hargai kakitangan.

Seperti namanya, staf atau pekerja adalah kaki untuk syarikat anda berjalan, dan tangan untuk menolak.

Staf-staf awal terutamanya, adalah mereka yang mempercayai visi dan misi syarikat anda boleh bermula dari kosong menjadi gilang gemilang. Kalau tidak, masakan mereka sanggup meninggalkan kerusi empuk dan gaji lebat di syarikat lama.

Potensi mereka melihat syarikat membesar, dan potensi mereka membesarkan bakat sendiri dalam syarikat adalah satu kepercayaan kuat yang harus dihargai bersama.

9. SOP

SOP atau Standard Operation Procedure adalah perkara penting yang harus ada dalam syarikat.

Ia menerangkan bagaimana sesuatu proses dibuat, atau apakah penyelesaian jika ada masalah berlaku.

Oleh kerana SOP dibuat secara bertulis, staf, rakan kongsi, atau pemilik, boleh merujuk semula kepada helaian-helaian ini apabila menghadapi masalah.

SOP juga hendaklah sentiasa diperbaharui mengikut perubahan semasa.

10. Kumpulan teras

Syarikat boleh bermula dengan kumpulan teras sahaja. Sebagai contoh, sebuah syarikat trading boleh menubuhkan pasukan jualan dan pemasaran dahulu.

Urusan sumber manusia atau perakaunan bolehlah menggunakan sumber luar contohnya syarikat penyedia perkhidmatan.

Apabila syarikat sudah mula besar, barulah berfikir untuk mewujudkan jabatan itu secara in-house.

11. Jenama

Pepsi membelanjakan USD $1 juta untuk mereka semula logo mereka pada 2008.

BP pula membelanjakan USD $211 juta untuk logo baru pada tahun yang sama. Perubahan ini bukan hanya tentang mengubah bentuk dan warna, tetapi ia juga mahu mencipta semula identiti BP sebagai sebuah syarikat tenaga yang boleh dipercayai, memberi inspirasi dan memberi peluang orang ramai untuk bersuara.

Jenama bukan sekadar tentang nama atau lukisan, tetapi lebih penting, apakah pengalaman yang dicipta apabila pelanggan-pelanggan menggunakan produk jenama itu.

Sebagai contoh, membaca buku Fixi di Starbuck terasa sungguh trendy berbanding membaca surat khabar di kedai makan mamak.

12. Networking

Oleh kerana saya menulis tentang bisnes, saya mendapat banyak peluang berkenalan dengan usahawan baru dan lama.

Antara perkara yang ditekankan oleh usahawan senior adalah untuk berkawan-kawan. Besarkan pergaulan. Bertanyalah. Hulurkan bantuan. Berkongsilah.

Puan Guru, Puan Ainon Mohd sering menekankan kepentingan minum kopi bersama rakan-rakan bisnes yang lain.

Katanya, “Kerja kuat menghasilkan 40% kejayaan bisnes. 60% datang dari business-connections.”

Logik satu bisnes berbanding dengan logik bisnes yang lain adalah berbeza. Tanyalah pengalaman rakan-rakan. Cerita mereka mungkin akan memberi satu dua buah idea yang berguna untuk bisnes kita.

13. Mula ringkas

Rasanya semua orang tahu, Dell dan Apple bermula dari garaj rumah. Facebook pula bermula dari bilik asrama seorang lelaki pintar yang ‘nakal’.

Ramly Burger yang sedang membina kilang baru bernilai RM1 bilion di Pulau Indah, Klang itupun bermula kecil, dari rumah.

Keempat-empat syarikat ini bermula kecil. Keempat-empat syarikat ini pula gah besar sekarang.

Beza syarikat-syarikat ini adalah mereka fokus untuk berkembang.

“Start small, think big,” bak kata pakcik bermata biru hidung tinggi.

BACA: Bagaimana Membuka Kedai Makan Bermula 1 Menu Sahaja

Walaupun sudah mencapai jualan 5 angka, tingkatkan. Sudah 6 angka, tingkatkan. Dan begitulah seterusnya.

Bak kata CEO ABS Education, Puan Suhaili Ikhsan.

Akhirnya, kita buat bisnes bukan sekadar tentang kita, tetapi lebih penting, tentang orang di sekeliling kita.

Penutup

Setahun jagung pengalaman, apa yang saya tulis di atas hanyalah sekelumit daripada lautan ilmu bisnes di luar sana.

Ada banyak lagi perkara perlu didalami. Ini termasuklah menguasai channel, khidmat pelanggan, harta intelek dan pengurusan kewangan.

Semoga catatan ini memberi sedikit idea.

Saya doakan Tuan Puan berjaya. Doakan saya juga untuk terus kuat menulis dan mendapatkan cerita dari orang bisnes lain. Terima kasih.

BACA: Bagaimana Startup Digital Media Ini Menjadi Trendsetter Dan Mengubah Pemikiran Masyarakat