Nota Editor: Tips ini adalah bahagian kelima tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua, bahagian tiga dan bahagian empat. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami dari semasa ke semasa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 5: NurJannah

Assalamu’alaikum wbt

1. Menjadi sunnah ke atas ibu bapa untuk meletakkan nama yang baik kepada anak-anak pada hari yang ke-7 selepas dilahirkan. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika nama anak diletakkan pada hari pertama kelahiran atau selepas sebulan dilahirkan tetapi yang lebih afdhal adalah pada hari ke-7 selepas kelahiran.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلَامٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Setiap anak lelaki tergadaikan dengan aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuhnya, dicukur rambutnya dan yusamma (diberi nama).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

2. Ibu bapa diamanahkan untuk meletakkan nama yang baik kepada anak-anak kerana nama merupakan DOA untuk mereka. Pemilihan nama yang baik akan mendatangkan kesan dan aura yang positif kepada anak-anak, manakala nama yang buruk akan mengakibatkan anak-anak menanggung malu, rasa rendah diri dan tertekan sepanjang hayat. Janganlah ibu bapa mengikut perasaan semasa memilih nama anak-anak, indah dan sedap didengar contohnya dengan menggabungkan nama mak dan ayah kononnya untuk ada nilai sentimental, mengubahsuai ejaan kononnya untuk ada nilai komersial dan tampak urban, epik dan terikut-ikut trend semasa tanpa mengetahui makna yang tersirat di sebalik nama tersebut. Ibu bapa perlu rujuk kepada alim ulama’ agar yakin pilihan nama anak-anak mereka membawa maksud yang baik.

3. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dalam membuat pemilihan nama untuk kelima-lima anak saya. Kesemua mereka mempunyai perkataan Muhammad di awal nama. Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Bermula dengan anak sulung, Aiman bermaksud ‘kanan’. Sejujurnya Aiman banyak menggunakan otak kanan dalam kehidupannya. Seorang kidal yang pakar menganalisa, gemar berkarya, bersajak, berpuisi, menulis lirik dan mempunyai jiwa yang halus dan sensitif namun bertanggungjawab.

Syamil bermaksud ‘sempurna’. Seorang yang sentiasa inginkan kesempurnaan hidup, keputusan yang cemerlang, rapi dalam berpakaian, teratur dalam susun atur bilik, terjadual perancangan hidup dan serba serbi inginkan kesempurnaan.

Irfan bermaksud ‘arif’. Banyak ilmunya. Tidak cukup ilmu dunia, ilmu akhirat juga sentiasa dicari dan dia tidak putus-putus menimba dan menyampaikan ilmu untuk maslahah ummah. Seorang yang tidak begitu mementingkan duniawi tetapi hidup untuk akhirat dan berazam berjumpa Allah swt dalam keadaan lunyai, insyaAllah.

Farhan bermaksud ‘riang ria’. Seorang yang mempunyai personaliti yang periang, menyenangkan dan jarang sekali membuatkan orang marah. Mudah untuk dijaga dan mudah untuk berurusan dalam banyak perkara. Malah semasa kecil, jika beliau demam atau tidak sihat jarang sekali merengek atau menangis. Sedar-sedar sudah meningkat remaja. Di mana pun beliau pergi orang akan selesa berdamping dengannya. Tagline hidupnya ‘Sweet, Simple, Sempoi’.

Suhayl bermaksud ‘mudah’. Memang mudah orangnya hinggakan baju pun pilih yang mudah, makan pun mudah, pelajaran pun nak yang mudah-mudah sahaja. Pernah satu ketika terlintas di fikiran mungkin saya tersilap pilih nama untuknya kerana melihat beliau terlalu ambil mudah pelajarannya sehingga saya merancang untuk memanggilnya dengan nama ‘Azim bermaksud agung atau besar. Tapi hajat tersebut tidak kesampaian kerana beliau akhirnya berjaya mencapai kejayaan dalam pelajaran dan hafazan sama seperti abang-abangnya.

5. Saya bersyukur dianugerahkan Allah swt dengan 5 anak lelaki yang hebat dan insyaAllah didoakan berjaya dunia akhirat, namun jauh di lubuk hati sebenarnya saya pernah mengimpikan ‘baby girl’ sejak dari anak pertama lagi. Saya berangan mempunyai anak perempuan yang semasa kecil boleh dipakaikan baju cantik-cantik, ditocangkan rambut, dibelikan aneka sepit dan cekak. Saya telah simpan nama NurJannah sejak daripada anak pertama lagi. Bila lahir anak ke-2 NurJannah tidak muncul juga. Begitu juga dengan kelahiran anak ke-3 yang juga baby boy. Nama NurJannah saya kuburkan dalam lipatan sejarah. Bersyukur di atas nikmat Allah swt dan redha dengan ketentuanNya, saya yakin ini adalah terbaik untuk saya. Pernah terfikir juga mungkin jika saya ada anak perempuan saya tidak berupaya mendidiknya dengan baik. Mungkin saya akan terlalu memanjakan dia, terlalu mewahkan dia, atau mungkin abang-abangnya akan pening kepala dengan kerenahnya, wallahua’lam.

6. Disebabkan cabaran dalam mendidik anak perempuan inilah, Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa anak-anak perempuan perlu diberikan perhatian lebih kerana sifat mereka yang lemah lembut dan mudah terasa. Jiwa mereka yang halus ini sangat terdedah dengan pelbagai ancaman. Jika dididik dengan sempurna, insyaAllah akan diberikan ganjaran hebat daripada Allah S.W.T.

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah S.W.T akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah S.A.W menjawab, “Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

7. Dalam menjaga anak perempuan, ibu bapa perlu tekankan soal maruah, soal harga diri, soal keselamatan, bab-bab mengenai fiqh wanita, halal dan haram, dan paling penting bab-bab berkaitan perlakuan dan juga aurat.

8. Dalam mendidik anak perempuan soal agama perlu lebih ditekankan kerana mereka kelak akan terdedah kepada banyak FITNAH meskipun mereka telah terdidik dengan didikan agama yang tinggi. Nafsu seorang perempuan tidak sama dengan seorang lelaki. Emosi mereka agak rapuh.

9. Tanggungjawab anak perempuan terhadap ibu bapa akan terlepas setelah berkahwin. Ini kerana, tanggungjawab mereka akan beralih kepada suami. Tetapi bagi anak lelaki, tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa adalah sehingga akhir hayat mereka. Oleh itu anak perempuan harus lebih pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang menuntut mereka untuk taat dan patuh pada suami.

10. Selepas diamati dan dibandingkan dengan pengalaman rakan-rakan dan saudara dalam membesarkan anak perempuan, saya merasakan bahawa menjaga anak perempuan sememangnya mencabar dan saya tabik hormat kepada ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak perempuan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun penjagaan dan pengawasan ke atas anak perempuan masih lagi dalam kategori terkawal jika dibandingkan dengan anak lelaki.

11. Bukan mudah mendidik anak lelaki kerana mereka bakal menjadi pemimpin, ketua keluarga, anak, suami serta bapa. Mereka harus dididik untuk menjadi pelindung kepada wanita, bukan menzalimi wanita. Tersilap didikan akan menyebabkan anak lelaki terarah kepada penyalahgunaan dadah, rempit, lepak dan aktiviti negatif lainnya. Saya tidak katakan anak perempuan bebas daripada perlakuan negatif, tetapi anak lelaki lebih banyak terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sihat seperti ini. Jika ketua sudah rosak macam mana hendak memimpin, walhal dalam soal memimpin lebih utama jika lelaki dipilih sebagai ketua.

12. Selaku ibu bapa kita harus menggembleng tenaga untuk mengembalikan ‘kejantanan’ anak lelaki sebagai wira yang mampu mengemudi bahtera dan memegang tampuk kepimpinan dengan adil. Hanya dengan ilmu di dada dan Al-Quran sebagai perisai insyaAllah dapat direalisasikan impian ini. Jom sama-sama kita pastikan sekolah kita, institut pengajian tinggi kita dan negara kita dipenuhi dengan rijal (anak-anak muda) yang boleh menjadi ikon kebanggaan negara. Rijal yang profesional tetapi penghafaz Al-Quran dan sentiasa memelihara solat.

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 4)

BACA Lagi: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 6)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram