Nota Editor: Tips ini adalah bahagian ketujuh tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua, bahagian tiga, bahagian empat, bahagian lima dan bahagian enam. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami dari semasa ke semasa.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 7: Kismis Cerdik

Assalamu’alaikum wbt

1. Menjaga pemakanan adalah sangat penting dalam membantu menjadikan anak-anak kita seorang professional maupun huffaz.

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar kamu hanya beribadat kepadanya.” (Al-Baqarah 2 : 172)

2. Semua ibu bapa inginkan ‘keajaiban’ berlaku ketika anak-anak mereka menghafaz Al-Quran. Antara perkara yang sering dibincangkan termasuklah topik pemakanan. Kita seringkali mendengar para huffaz dilarang memakan makanan tertentu contohnya organ dalaman binatang seperti hati, otak dan limpa serta makanan-makanan yang dimasuki semut, mee segera dan ‘junk food’. Alasannya adalah kerana makanan-makanan ini menggelapkan hati dan menumpulkan fikiran.

3. Penyediaan minda yang tajam dan cerdik perlu untuk kedua-dua pembelajaran dan hafazan. Jika akademik anak-anak cemerlang kebarangkalian untuk mereka cerdas dalam hafazan meningkat. Masalah mungkin berlaku kepada anak-anak yang lambat menghafaz bukan disebabkan malas tetapi keupayaan otak yang lemah. Untuk anak-anak begini pastinya ibu bapa akan berusaha mencari penawar atau makanan tambahan yang akan membantu merangsang sel-sel otak anak mereka agar dapat terus fokus untuk belajar dan menghafaz al-Quran.

4. Kita mungkin pernah terjumpa produk di pasaran yang mewar-warkan khasiat yang dapat mencergaskan minda, menghilangkan penyakit lupa, menguatkan daya ingatan dan daya fokus, meningkatkan keyakinan diri, menjadikan seorang itu rajin mengerjakan solat dan amal soleh, menjadikan seseorang itu tenang menghadapi peperiksaan dan mengubah anak-anak yang suka melawan ibu bapa berubah menjadi taat dan mendengar kata.

5. Ada sesetengah produk makanan tambahan dijual kononnya setelah melalui proses penyediaan yang mustajab. Dibacakan doa oleh orang-orang alim berkeperibadian baik yang sentiasa bersandarkan al-Quran dan As-Sunnah di dalam kehidupan seharian. Dan diakui melalui testimoni pengguna telah berjaya merubah anak-anak mereka menjadi baik dan hormat kepada orang tua. Produk tersebut kononnya telah dibersihkan menggunakan air 30 juzuk al-Quran.

6. Saya tidak menolak produk-produk ‘mustajab’ ini keseluruhannya. Cuma saya memilih untuk mengamalkan pemakanan sunnah kepada anak-anak khususnya semasa mereka sedang menghadapi peperiksaan. Kebaikan makanan sunnah ini telah terbukti daripada sudut khasiatnya. Oleh itu saya tidak akan teragak-agak untuk membeli makanan-makanan sunnah seperti kismis, kurma, badam, buah tin, air zam-zam, minyak zaitun, habbatus sauda’, susu kambing dan madu. Ini merupakan inisiatif tambahan yang saya ambil untuk meningkatkan daya ingatan anak-anak. Usaha ini saya kira masih kurang jika dibandingkan dengan seorang kenalan yang bahkan meletakkan habbatus sauda’ ke dalam adunan cucur udang.

7. Ilmu itu cahaya, oleh yang demikian untuk memastikan anak-anak terang hati dan tajam minda mereka perlu:

  • Jaga hubungan dengan Allah.
  • Sentiasa bersangka baik dengan orang.
  • Elak benda-benda yang lagha seperti menonton televisyen, main game berlebihan, bergosip, ber’facebok’ 24 jam.
  • Jauhi maksiat.
  • Mohon doa dan pertolongan kepada Allah.

8. Kadangkala ibu bapa mengalami tekanan apabila anak-anak tidak mahu belajar dengan baik. Anak-anak tidak minat, tiada galakan, tiada dorongan. Kerana itulah ibu-ibu disaran untuk membaca doa-doa penerang hati ketika menyediakan makan-minum anak-anak. Tanpa mengira lafaz doa yang anda panjatkan, samada Surah Alam Nasyrah, Robbish-rohli sodri…, 5 ayat awal Surah Toha atau selawat syifa’, doa-doa penerang hati ketika menyediakan rezeki halal untuk anak-anak, semuanya menuju ke matlamat yang sama, yakni menjadikan keluarga kita soleh dan anak-anak cerdik serta terang hati. Jika lebih mudah bagi anda berdoa dalam bahasa Melayu, teruskan. Allah Maha Mengetahui. Yang penting Allah mahu melihat kebergantungan kita kepadaNya.

9. Ibu bapa harus memilih penyelesaian terbaik untuk membantu anak-anak kerana mereka adalah tanggungjawab kita. Adakah mereka benar-benar memerlukan makanan minda untuk melajukan hafazan termasuk ‘kismis doa’, ‘air yasin malam Jumaat’, multi-vitamin atau coklat cerdik? Adakah pengambilan makanan-makanan ini benar-benar perlu dan berkesan? Saya secara peribadi memastikan anak-anak mengambil makanan-makanan sunnah sebagai sambilan saja, bukan dengan niat untuk mujarab dalam hafazan dan pembelajaran. Ini kerana dikhuatiri kita akan meletakkan pergantungan yang terlalu tinggi kepada makanan minda dan menjadi asbab anak-anak sukar tasmi’ dan muraja’ah hafazan sekiranya tidak diambil. Yang pasti makanan yang halal, berzat, seimbang dan berjadual mampu menentukan prestasi daya ingatan dan hafazan anak-anak kita kerana makanan mempengaruhi perkembangan mental, fizikal dan emosi seseorang manusia.

10. Adakalanya selepas melakukan pelbagai usaha dan ikhtiar dengan ulang kaji yang kerap, menghadiri kelas tambahan, makan makanan sunnah yang akan merangsang minda tetapi masih lagi anak-anak kurang cemerlang dalam pelajaran dan lemah dalam hafazan, maka di saat itu kita harus semak kembali adakah kita memberi anak-anak kita makan daripada rezeki dan sumber rezeki yang halal. Adakah rezeki yang kita perolehi adalah daripada sumber yang benar-benar bersih dan tidak terpalit dengan rasuah, riba’ atau pelaburan tidak syar’i. Apabila kita tidak menitik beratkan dari mana sumber pendapatan kita dan dengan wang itu kita memberi makan keluarga, maka kesannya akan terlihat pada akhlak dan pembelajaran anak-anak kita yang terjejas.

“Akan datang suatu masa di mana orang-orang tidak peduli dari mana nafkah yang diambilnya, apakah dari yang halal atau dari yang haram.” (Hadith Riwayat Bukhari).

11. Halal dalam makanan pula bermaksud halal dari sudut hukum. Berwaspadalah daripada membawa anak-anak kita makan di restoran bertaraf ‘syubhah’. Jangan tersalah beli makanan ‘halal tetapi haram’. Pastikan bahan-bahan yang tertera tidak mengandungi gelatin, emulsifier dan seumpamanya yang berasaskan unsur tidak bersih serta pastikan terdapat pengesahan halal daripada badan yang bertanggungjawab.

”Sesungguhnya yang halal itu sudah jelas dan yang haram itu sudah jelas, di antara keduanya ada perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Barangsiapa berhati-hati dengan yang syubhah (menjauhinya), ia telah memelihara agama dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjatuh kepada syubhah, maka ia telah terjerumus kepada yang haram.”
(Hadith Riwayat Muslim)

12. Di samping memastikan anak-anak sentiasa mengulang hafazan, mengambil makanan sunnah, menjamin rezeki dan sumber rezeki halal, menjaga hubungan dengan Allah dan mengelak dari lagha, di sini saya ingin menambah satu lagi pendekatan yang telah saya gunakan untuk melajukan hafazan anak-anak. Sejak mereka sekolah rendah lagi saya telah menghantar mereka ke kelas ‘Mental Arithmetic’ di mana anak-anak dirangsang dan digilap potensi minda mereka dengan pengiraan kaedah Sempoa. Saya dapati bahawa daya ingatan mereka lebih tinggi, fokus mereka lebih tajam dan mereka dapat menghabiskan hafazan 30 juz dalam masa kurang dari setahun. Saya menggalakkan ibubapa yang mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tambahan seperti ini.

13. Sebagai penutup, saya ingin mengingatkan anda dan diri saya sendiri bahawa soal halal-haram rezeki tidak boleh dipandang remeh sebab ia boleh membawa kesan yang amat besar di dalam kehidupan kita sekeluarga. Jika yang halal dan yang haram bercampur aduk, kita khuatir ia akan memberi kesan kepada perilaku, akhlak, emosi dan rohani anak-anak kita. InsyaAllah jika perkara baik yang masuk ke dalam mulut kita, maka perkara baik juga akan keluar daripada mulut kita. Ayuh jadikan usaha mencapai redha Allah sebagai matlamat kehidupan kita sekeluarga dan genggamlah ia kuat-kuat, nescaya hidup kita barakah dunia dan akhirat.

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 6)

BACA Juga: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 8)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram