Nota Editor: Tips ini adalah bahagian kelapan tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua, bahagian tiga, bahagian empat, bahagian lima, bahagian enam dan bahagian tujuh. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami dari semasa ke semasa.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 8: Cinta & Nikah

profazz-08

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Semua orang ingin bercinta dan dicintai. Ini adalah lumrah kehidupan dan fitrah semulajadi manusia. Ada setengah anak muda, jiwanya meronta untuk berpasangan sehingga pelajaran terganggu, kehidupan caca marba dan matlamat hidup tersasar. Setiap waktu fikirannya terganggu dengan keinginan untuk berumahtangga.

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

“Maha suci Allah yang telah menciptakan makhluk semuanya berpasang-pasangan, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka sendiri, ataupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” (Yassin 36:36)

2. Saya pernah mengalami keadaan anak-anak menginjak usia remaja dan melalui fasa ingin bercinta dan dicintai. Sebagai seorang ibu yang amat menitikberatkan akhlak Islami dan cara-cara bercinta yang dibenarkan oleh agama, saya kira fasa percintaan sebelum nikah adalah ‘a big NO’ dalam usia muda dan proses perkahwinan harus melalui pendekatan Baitul Muslim. Sebuah Baitul Muslim, seperti yang dijelaskan oleh Imam Hassan Al-Banna, adalah pembinaan sebuah keluarga bermula dengan pemilihan pasangan hidup yang boleh saling membantu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Muslim sejati.

Pra-syarat anak-anak yang saya anggap bersedia untuk berkahwin adalah mereka yang telah lengkap dibekalkan dengan ciri-ciri individu Muslim. Amanah dan tanggungjawab yang bakal dipikul terlalu besar. Ditambah fitnah dan ujian sebaik sahaja lafaz akad dilaksanakan boleh melemahkan semangat. Risau juga nanti jika anak-anak belum benar-benar bersedia, atau jika tidak kuat, akan kecundang di tengah jalan.

Saya hanya akan cerewet jika ada pihak yang sengaja melengah-lengahkan atau menyukarkan urusan perkahwinan. Bab mas kahwinlah, bab wang hantaran yang tinggi, kenduri kendara yang berkali-kali di lokasi yang berlainan dengan pelbagai tema sehinggakan asas pembentukan keluarga Muslim yang sepatutnya mudah menjadi sukar. Kalau sudah jatuh hukum wajib atau sunat untuk berkahwin dari segi fiqhnya, maka kahwin sahajalah! Tidak perlu dilengah-lengahkan.

3. Di sini saya ingin kongsikan beberapa pengalaman peribadi dalam menangani kes anak-anak ketika mereka meningkat remaja.

Kes 1: Diganggu Gadis Misteri

Apakah reaksi anda ketika anak-anak remaja lelaki digoda oleh gadis-gadis yang menelefon dan ingin berkenalan? Saya pernah mengalaminya di mana gadis misteri ini tidak berputus asa untuk cuba menggoda anak bujang saya. Kadang-kadang dia menggunakan telefon rumah, kadang-kadang telefon awam, adakalanya guna ‘private number’. Tidak cukup mesej di telefon, dia cuba menyapa di Facebook. Untuk seorang yang terdidik dengan akhlak Islam, anak saya cuba untuk tidak bersikap kasar tetapi menasihati gadis tersebut agar tidak menggangunya. Perkara ini berlarutan sehinggalah saya terpaksa masuk campur dan menelefon gadis misteri tersebut untuk menegurnya dengan lembut agar memberhentikan perbuatannya yang tidak berfaedah. Bayangkan jika anak saya melayani kerenah gadis itu maka akan berlakulah adegan-adegan yang tidak elok yang mana kesannya amat buruk sekali.

Kes 2: Fasa Pertunangan

Saya amat tegas dengan anak-anak sepanjang tempoh pertunangan mereka dengan calon isteri. Indahnya ikatan pernikahan itu kerana ia halal tetapi jangan jadikan tempoh pertunangan penuh dengan perkara yang haram. Kebiasaan yang kita perhatikan sekarang pasangan yang sudah bertunang akan keluar berduaan, sering berhubungan dan sebagainya. Bahkan pembelian cincin nikah, pembelian barang hantaran dan perbincangan tentang kenduri kendara dibuat bersama-sama tanpa batasan. Ini amat bertentangan dengan apa yang dibenarkan dalam syariat. ‘The Rule of Thumb’ mudah: semua perkara yang membuka pintu fitnah, dosa, maksiat dan syubhah, itu ditegah oleh agama. Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.”
(Hadis Riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair)

Kes 3: Baitul Muslim vs Pilihan Ibu

Saya harus akui terdapat perbezaan di antara pemilihan pasangan melalui Baitul Muslim dengan bukan Baitul Muslim. Ini adalah kerana melalui Baitul Muslim, tapisan yang rapi telah dilakukan terhadap calon-calon yang menepati kriteria yang diingini oleh seseorang pemohon. Calon pasangan pula telah dikenali dari segi keperibadian, akhlak dan latar belakang agama. Oleh itu seringkali kesesuaian dapat dilihat dari awal perkahwinan lagi. Mereka mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang sama. Anak-anak saya tidak pernah mempunyai teman wanita, jadi saya memainkan peranan membantu memilih pasangan hidup bagi anak-anak yang tidak mengikut proses Baitul Muslim. Alhamdulillah kriteria dari sudut agama, latar belakang keluarga, pendidikan dan paras rupa telah dinilai bersama dan calon yang dipilih adalah atas persetujuan bersama.

4. Nikah di Usia Muda (18 – 24 tahun)

Masih ramai ibu bapa yang tegas membantah hasrat anak-anak untuk mendirikan rumahtangga tatakala usia muda, tambahan jika mereka masih belajar. Alasan mereka ialah biarlah anak-anak grad dahulu, dapat kerja dahulu atau stabil dari segi kewangan baru memikirkan tentang perkahwinan.

Saya kategorikan diri saya sebagai ‘open-minded’ dalam ertikata saya tidak menyuruh dan tidak pula melarang anak-anak berkahwin di usia muda. Saya sendiri bernikah pada usia 21 tahun semasa masih menuntut di luar negara. Saya tidak nampak berkahwin pada usia muda sebagai penghalang dalam membina keluarga PROFAZZ. Yang penting kita harus merujuk kepada hati nurani sendiri mengapa kita mahu bernikah awal sedangkan rakan-rakan sebaya masih tidak bersedia menempuh jalan hidup yang belum tentu senang atau susah.

Kini, perkahwinan merupakan satu keperluan bukan lagi kehendak. Tidak dapat dinafikan ramai anak-anak kita sudah pun berkahwin sebenarnya cuma belum bernikah. Di saat ramai anak-anak yang terdedah dengan bacaan-bacaan terlarang di internet, pornografi, majalah-majalah lucah dan billboard yang menayangkan model-model mengghairahkan maka tidak hairanlah statistik anak-anak tidak sah taraf semakin meningkat.

Antara kebaikan bernikah awal ialah untuk menjaga hati dan batas pergaulan, mendapat ketenangan, mendapat teman dalam kehidupan, pelajaran dan perjuangan, menjadi lebih matang dan bertanggungjawab serta menambah rezeki dan keberkatan hidup. Digalakkan selalu berdoa agar mendapat suami atau isteri yang beragama dan berakhlak mulia. Antara doa yang sering saya mohon anak-anak amalkan untuk mendapat isteri solehah ialah:

رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلۡتَ إِلَىَّ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَقِيرٌ۬

“Ya Allah, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” (Al-Qasas 28: 24)

5. Bercinta Selepas Nikah

Dalam tempoh sebelum nikah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan hanya perlu berhubungan secara minima dan seringkali ditemani oleh pihak ketiga. Tiada peluang untuk mereka memadu kasih dan mencipta cinta. Masing-masing perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga, ilmu pengurusan kewangan dan ilmu asas pendidikan anak-anak.

Asasnya adalah mulai percintaan dengan pernikahan dan cintailah pasangan yang dikahwini. Bercinta selepas nikah perlukan niat yang ikhlas ingin membina keluarga Muslim sejati. Kejujuran adalah satu lagi aspek penting. Jujur pada pasangan, jujur pada diri sendiri dan jujur pada Allah s.w.t. Bercinta selepas nikah lebih manis kerana banyak perkara baru yang boleh kita pelajari dari pasangan dari sehari ke sehari. Harus ada asas perjanjian bersama untuk beroleh keluarga sakinah, mawadah wa rahmah. Jangan sibuk mencari keserasian tetapi terimalah perbezaan untuk saling melengkapi.

Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan suami isteri perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin bertujuan untuk menambah seri rumahtangga dan kecintaan di antara satu sama lain.

6. Peranan keluarga untuk Menyokong

Bila anak-anak menyatakan hasrat untuk bernikah sebab yakin tidak mampu menjaga dirinya, maka di kala itu wajib baginya berkahwin. Adalah lebih baik ibu bapa menyegerakan pernikahan mereka walaupun usia masih muda, daripada membiarkan anak-anak bergelut dengan perasaan dan masalah sendiri. Sokongan ibu bapa amat perlu dari segi moral, spiritual dan kewangan.

Bagi anak-anak saya sendiri, memandangkan kami telah memberikan lampu hijau untuk mereka berkahwin awal dan sewaktu masih belajar, maka kami bersedia membantu dari sudut kewangan setakat kemampuan. Paling tidak kami membantu dari sudut keperluan asas seperti sewa rumah, bayaran pendahuluan kereta dan serba sedikit peralatan rumah untuk kelangsungan hidup mereka sebagai suami isteri.

7. Sebagai rumusan, saya sarankan ibu bapa memberi kelonggaran kepada anak-anak untuk bernikah di awal usia sekiranya perkara tersebut benar-benar perlu. Janganlah jadikan tentangan ibu bapa sebagai faktor terbesar yang membantutkan keghairahan anak muda untuk bernikah. Masalah dan kondisi setiap orang berbeza, namun jika kita ikhlas insyaAllah Allah akan membantu kita mencari jalan keluar yang dapat menyelesaikan setiap permasalahan.

SAMBUNGAN: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 9)

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 7)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram